Pages

Anjuran Islam Untuk Berkahwin

Islam adalah satu agama yang menganjurkan perkahwinan. Malah tiada agama tidak menganjurkan perkahwinan kerana perkahwinan adalah satu-satunya cara untuk membina keluarga dan mengembangbiakkan umat manusia.

Islam melihat perkahwinan sebagai satu daripada fitrah manusia. Setiap manusia perlukan teman hidup yang dapat mententeramkan jiwa dan berkongsi suka dan duka. Itulah sebabnya Allah menjadikan manusia ini berpasangan-pasangan (ar-Rum: 21). 

Melalui perkahwinan juga, Allah mengurniakan manusia dengan keturunan yang melaluinya umat manusia berkembangbiak (an-Nahl: 72). Selain ayat-ayat ini, Allah juga berfirman di dalam al-Quran tentang kehidupan para Rasul yang juga berumahtangga (ar-Ra'd: 38). 

Demikianlah fitrah manusia, sama ada manusia biasa mahupun para Rasul, mereka tetap ingin hidup berteman dalam sebuah perkahwinan.

Hadis-hadis Rasulullah s.a.w juga banyak sekali anjuran supaya umat Islam berkahwin. Sebagai contoh, hadis yang bermaksud, "Perkahwinan adalah salah satu sunnahku. Barangsiapa tidak menyukai sunnahku, maka sesungguhnya ia tidak meyukai aku." Hadis ini menunjukkan bahawa perkahwinan merupakan satu sunnah dan sebagai umat Muhammad, kita perlulah mengikuti sunnah Baginda.

Kemudian dikatakan pula bahawa perkahwinan itu sebahagian dari iman seperti dalam hadis berikut yang bermaksud, "Seseorang yang menikah telah menenangkan separuh agamanya. Maka hendaklah ia bertakwa kepada Allah dengan menjaga separuh yang lain." Dalam menganalisa hadis ini, Imam al-Ghazali berpendapat, "dengan melangsungkan perkahwinan, seseorang itu akan dapat menjaga dirinya dari kerosakan agama atau akhlaknya. Dapatlah disimpulkan bahawa yang paling merosakkan akhlak seseorang itu ialah perut dan kemaluannya. Oleh sebab itu, dengan berkahwin akan terpeliharalah salah satu penyebab utama kerosakan agamanya. "

Dalam konteks ini, tentulah perkahwinan itu perlu disegerakan. Walau bagaimanapun, ada satu syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang itu boleh berkahwin iaitu kemampuan. Ini kerana dalam sepotong hadis Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa memiliki kemampuan untuk kahwin, hendaklah ia berkahwin. Hal itu lebih membantu menjaga pandangan serta melindungi kemaluan. Namun, apabila tidak mampu, hendaklah ia berpuasa. Dengan berpuasa, syahwatnya akan lemah." Hadis ini menunjukkan bahawa bila ada kemampuan, kahwinlah. Jangan ditangguhkan lagi. Sebaliknya, bagi yang tidak mampu, ia tidak boleh berkahwin sebaliknya berpuasalah untuk menjaga nafsunya.

Jadi, adalah jelas bahawa Islam adalah satu agama yang menganjurkan perkahwinan dan ia melihat bagi yang mampu, lebih cepat berkahwin adalah lebih baik. Oleh yang demikian, dalam konteks sekarang, kalau sudah berkemampuan, kahwinlah dan jangan tangguh-tangguh lagi. Tambah pula jika penanguhan itu bagi tujuan-tujuan seperti untuk memenuhi kepuasan hidup bujang atau untuk mengelakkan diri dari dikongkong. Ini tentunya bertentangan dengan Islam kerana perkara-perkara ini akan mendedahkan kita kepada perkara-perkara yang tidak baik. 

(Dipetik dari: http://www.ikim.gov.my)

1 comment:

  1. bukan tak mahu kawin, belum jumpa lagi jodohnya...

    ReplyDelete